Adapun terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj adalah kerana
bumi merasa bangga dengan langit. Berkata dia kepada langit, "Hai langit, aku
lebih baik dari kamu kerana Allah S.W.T. telah menghiaskan aku dengan
berbagai-bagai negara, beberapa laut, sungai-sungai, tanam-anaman, beberapa
gunung dan lain-lain."
Berkata langit, "Hai bumi, aku juga lebih elok
dari kamu kerana matahari, bulan, bintang-bintang, beberapa falah, buruj,
'arasy, kursi dan syurga ada padaku."
Berkata bumi, "Hai langit,
ditempatku ada rumah yang dikunjungi dan untuk bertawaf para nabi, para utusan
dan arwah para wali dan solihin (orang-orang yang baik)."
Bumi
berkata lagi, "Hai langit, sesungguhnya pemimpin para nabi dan utusan bahkan
sebagai penutup para nabi dan kekasih Allah seru sekalian alam, seutama-utamanya
segala yang wujud serta kepadanya penghormatan yang paling sempurna itu tinggal
di tempatku. Dan dia menjalankan syari'atnya juga di tempatku."
Langit
tidak dapat berkata apa-apa, apabila bumi berkata demikian. Langit mendiamkan
diri dan dia mengadap Allah S.W.T dengan berkata, "Ya Allah, Engkau telah
mengabulkan permintaan orang yang tertimpa bahaya, apabila mereka berdoa kepada
Engkau. Aku tidak dapat menjawab soalan bumi, oleh itu aku minta kepada-Mu ya
Allah supaya Muhammad Engkau dinaikkan kepadaku (langit) sehingga aku menjadi
mulia dengan kebagusannya dan berbangga."
Lalu Allah S.W.T
mengabulkan permintaan langit, kemudian Allah S.W.T memberi wahyu kepada Jibrail
A.S pada malam tanggal 27 Rejab, "Janganlah engkau (Jibrail) bertasbih pada
malam ini dan engkau 'Izrail jangan engkau mencabut nyawa pada malam
ini."
Jibrail A.S. bertanya, " Ya Allah, apakah kiamat telah
sampai?"
Allah S.W.T berfirman, maksudnya, "Tidak, wahai Jibrail. Tetapi
pergilah engkau ke Syurga dan ambillah buraq dan terus pergi kepada Muhammad
dengan buraq itu."
Kemudian Jibrail A.S. pun pergi dan dia melihat
40,000 buraq sedang bersenang-lenang di taman Syurga dan di wajah masing-masing
terdapat nama Muhammad. Di antara 40,000 buraq itu, Jibrail A.S. terpandang pada
seekor buraq yang sedang menangis bercucuran air matanya. Jibrail A.S.
menghampiri buraq itu lalu bertanya, "Mengapa engkau menangis, ya
buraq?"
Berkata buraq, "Ya Jibrail, sesungguhnya aku telah
mendengar nama Muhammad sejak 40 tahun, maka pemilik nama itu telah tertanam
dalam hatiku dan aku sesudah itu menjadi rindu kepadanya dan aku tidak mahu
makan dan minum lagi. Aku laksana dibakar oleh api kerinduan."
Berkata
Jibrail A.S., "Aku akan menyampaikan engkau kepada orang yang engkau rindukan
itu."
Kemudian Jibrail A.S. memakaikan pelana dan kekang kepada buraq
itu dan membawanya kepada Nabi Muhammad S.A.W.
Wallahu'alam.
Buraq yang diceritakan inilah yang membawa
Rasulullah S.A.W dalam perjalanan Israk dan Mikraj.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar