Abu Laits
as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyur. Suatu ketika dia pernah
berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-nabi yang bukan Rasul ada
menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar
suara.
Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu,
pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki
keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat,
pertama; apa yang negkau lihat (hadapi) maka makanlah, kedua; engkau
sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan,
yang kelima; larilah engkau daripadanya."
Pada keesokan
harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang
pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi itu
kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi
sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan."
Maka
Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya.
Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi
sebesar buku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya.
Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur
'Alhamdulillah'.
Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya
lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya
supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan
mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar
semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali
berturut-turut.
Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan
perintahmu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu
yang mangkuk emas itu terkeluar semula dari tempat ia
ditanam.
Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak
seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah
burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku."
Mendengar
rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan
dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu
pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat
lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau
patahkan harapanku dari rezekiku."
Nabi itu teringatkan pesanan
arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia
menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat
keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan
diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan
burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.
Selepas kejadian itu,
Nabi meneruskan perjalannya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai
yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan
menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa
itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam
doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu
sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti
semuanya ini."
Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah
S.W.T. bahawa, "Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak
besar seperti bukittetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta
menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada
madu.
Kedua; semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia
tetap akan nampak jua. Ketiga; jika sudah menerima amanah seseorang, maka
janganlah kamu khianat kepadanya. Keempat; jika orang meminta kepadamu, maka
usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat.
Kelima; bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka
larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat
ghibah."
Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini hendaklah
kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa sahaja
berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan
setiap hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka
mengata hal orang lain. Haruslah kita ingat bahawa kata-mengata hal seseorang
itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat
nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah
dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu
berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu."Maka
berkata Allah S.W.T., "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang
dirimu." Dengan ini haruslah kita sedar bahawa walaupun apa yang kita kata itu
memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh
kerana itu, hendaklah kita jangan mengata hal orang walaupun ia benar.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar